Tuesday, January 27, 2009

Baik ko blah la


  1. Semua orang tahu, saya tidaklah cerdik orangnya apatah lagi bijak. Dan saya rasa hampir semua pun tahu, terutamanya mereka yang sudi melawat blog saya sejak zaman slumber-jer berleluasa, yang saya ini, semasa kecilnya dimasukkan ke kelas permulihan.

  2. Masa itu saya sangat malu. Dari kumpulan A cikgu tukarkan saya ke kumpulan C. Terpaksa meninggalkan kawan-kawan rapat yang saya kenal sejak awal persekolahan. Cuma saya terasa hati sedikit dengan seorang sahabat baik saya, Mahadi namanya. Kerana saya telah direndahkan darjat, dia tidak mahu beratur dengan saya lagi. Waktu itu, semasa beratur, perlu berpasangan dan berpegangan tangan. Bila saya cuba memegang tangannya, dia melepaskan dan katanya, dia tidak mahu beratur dengan budak kumpulan C. Saya terpinga-pinga tetapi apakan daya saya. Tetapi saya sangat berterima kasih dengan Mahadi, kerana dia saya cuba berusaha bersungguh-sungguh walaupun tidak secemerlang mana.

  3. Kemudian, bila saya di sekolah menengah, masalah baru melanda saya. Bahasa Inggeris! Waktu itu saya memberontak dengan falsafah saya. Kenapa perlu orang Melayu di tanah air sendiri perlu belajar bahasa penjajah bukan? Kenapa Jepun, Perancis, Jerman dan negara-negara maju lain sangat bangga dengan bahasa mereka? Ayah saya, entah berapa banyak duit dihabiskan membeli kamus-kamus dan buku-buku, supaya kami adik-beradik lancar berbahasa Inggeris. Namun, bila saya menjengah tingkatan 4, saya cuba mengubah persepsi saya. Mungkin kerana saya dimasukkan ke set 4, kumpulan yang paling jahil sekali dalam kemahiran berbahasa Inggeris. Tetapi yang utamanya hanya kerana cikgu kelas bercerita kepada kami. Tentang kenapa kami semua ditempatkan di dalam bilik audio video sekolah sedangkan set 1, 2 dan 3 di dalam kelas. Kata cikgu, pihak pengurusan sekolah tidak mahu kami mengganggu pelajar-pelajar set lain. Mungkin persepsi mereka waktu itu, terdapat budak-budak nakal di dalam kelas kami. Biasalah, budak bodoh selalu dikaitkan dengan kenakalan. Lalu kami diasingkan. Betapa terasa hinanya saya. Tetapi saya bersyukur, kalau tidak dibuat begitu, saya tidak akan cuba berusaha untuk memahami bahasa Inggeris.

  4. Sekarang, hampir semua kawan-kawan saya tahu. Saya masih menuntut ilmu di salah sebuah universiti tempatan. Menjengah 26 tahun dan sepatutnya sudah ada 2 orang anak. Haha. Pada mulanya, saya berasa seronok untuk berada lama-lama di sini. Tetapi berubah selepas adik perempuan saya, yang usianya kurang setahun dari saya, tamat belajar sejak 2-3 tahun yang lepas dan kini sudahpun menghadiahkan 2 buah rumah untuk ibu bapa saya. Dan saya masih di sini, berseronok dalam dunia yang tidak nyata. Betapa tercabarnya saya.

  5. Alhamdu lillah, harap-harap ini adalah semester terakhir saya di sini. Semoga segalanya dipermudahkan.

  6. Sebenarnya, saya bukan hendak bercerita tentang pengalaman lalu. Saya berada dalam dilema terhadap seorang rakan saya. Apakah pilihan terbaik yang perlu saya lakukan terhadap dirinya?

  7. Kawan, kalau kau baca pos ini, biar aku berterus-terang. Ini adalah gelombang ke-dua. Gelombang pertama tak menjadi bila kau masih tidak mahu berubah. Tolonglah, jangan sampai gelombang ke-tiga. Aku masih menghormati kamu sebagai orang yang lebih tua! Masa berjalan dan masa tidak akan menolong..

  8. Bersambung.

Pos seterusnya: Baik ko blah la II

Tuesday, January 20, 2009

Palestin


  1. Cerita Tun, nak jihad boleh, tetapi boleh menang ke? 
  2. Orang Islam buat kesalahan besar iaitu menolak ilmu Sains dan Matematik pada abad ke-15.
  3. Kerana tidak tahu ilmu Sains dan Matematik, kita tidak boleh membangunkan senjata canggih sehinggakan orang Islam terpaksa bergantung kepada AS atau Rusia untuk mendapatkan senjata.
  4. Adakah anda fikir AS akan memberi senjata (tercanggih) kepada orang Islam untuk memerangi mereka? Kalau ada ilmu kita boleh bina senjata canggih sendiri.
  5. Sebelum abad ke-15, zaman kegemilangan Islam ada ilmu Sains dan Matematik sehingga mampu membina tamadun canggih malahan orang Eropah datang untuk belajar dengan orang Islam.
  6. Selepas abad ke-15, hanya pendidikan agama diutamakan menyebabkan umat Islam ketinggalan.
Pos seterusnya: Baik ko blah la.

Friday, January 9, 2009

Azam


  1. Semakin ramai yang memperkatakan tentang azam tahun baru mereka. Saya pula masih berkira-kira. Banyak azam saya tetapi yang mana satu patut diutamakan? Lalu seperti biasa saya terbaca artikel dari Tun.

  2. "Untuk menjadi bangsa maju kita perlu ilmu pengetahuan yang luas. Hanya boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan kita bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa maju yang lain."

  3. Ini adalah sebahagiannya sahaja yang dipetik. Untuk artikel penuh, silalah lawat blog Tun. Blog penjana ilmu dan mentaliti yang betul. Kalau mempertikaikannya, oh tidak mengapalah. Tun hanyalah bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Siapalah dia kan?

  4. Lalu apakah azam tahun baru saya.

  5. Nak fasih berbahasa Inggeris dari segi penulisan dan percakapan. Oh, kalau diizinkan, lancar macam minum air, boleh?

Post seterusnya: Palestin - Cerita Tun.