Wednesday, October 21, 2009

Peminta Simpati

Semasa saya berada di dalam semester pertengahan, sewaktu belajar di politeknik dahulu, berlaku banyak kecurian dan kehilangan barang terutamanya telefon bimbit di kalangan kami yang disimpan di dalam rumah. Malah, sahabat baik saya, yang menuntut di sebuah universiti di Pulau Pinang dan menumpang tidur di rumah saya semalaman turut kehilangan telefon bimbitnya. Kehilangan-kehilangan yang berlaku menyebabkan saya sedikit tertekan untuk menjaga barang-barang beharga saya dengan selamat. Kawan-kawan lain juga begitu. Tekanan itu memuncak bila mana kecurian berlaku dengan sangat kerap, seolah-olah tidak dapat dihentikan, malah kesan pecah masuk juga tiada. Lalu kami mula merasakan kawan-kawan rapat sendiri termasuklah mereka yang serumah punya angkara. Kami mula mencurigai di antara satu sama lain.

Macam-macam cara diusahakan untuk mencari mereka yang membuat onar. Bagi yang mempercayai bomoh, sanggup turun ke daerah yang paling dalam dan jauh. Pernah sekali saya menemani kawan saya yang kehilangan telefon bimbitnya sehingga sampai ke daerah Taiping (kalau tidak silap) kerana mahu mencari seorang bomoh 'photostat' yang popular ketika itu. Cara bomoh itu cukup mudah, menghiris cebisan-cebisan kertas (sehingga menyerupai saiz gambar berukuran passport) dan ditaburkan ke dalam mangkuk plastik yang diisi dengan air. Kemudian, bomoh itu meminta kawan saya untuk berniat di dalam hati akan hajatnya sementara dia menggenggam-genggam tangannya. Aksinya itu mengundang sedikit tarikan kepada saya kerana tangannya seolah-olah berbunyi tulang berlaga-laga dan kuat. Tidak lama kemudian, bomoh itu mengeluarkan kertas-kertas tadi tetapi kali ini dengan gambar hitam putih seorang pemuda di dalamnya. Walaupun saya skeptikal, sedikit perasaan takjub juga bermain dalam fikiran, memikirkan bagaimana kertas-kertas putih tadi bertukar menjadi gambar hitam putih di dalamnya. Namun kami agak kecewa kerana gambar itu tidak menyerupai mana-mana orang perseorangan yang kami kenal.

Suatu hari seorang kawan serumah memberitahu saya, dia mencurigai seorang kawan bernama Badak (gelaran) dan selalu bertandang ke rumah kami. Setiap kali kehadirannya, pasti ada barang yang hilang. Malah seorang sahabat yang lain pernah melihat dirinya yang cuba menarik sesuatu dari luar pintu besi rumah seorang rakan tetapi malangnya ketika itu, dia tidak merasakan apa-apa yang boleh menimbulkan syak. Bila sudah ramai menceritakan perihal Badak, kami sepakat untuk ke rumahnya beramai-ramai. Ketika itu ada tiga orang yang berada di dalam rumah Badak termasuk dirinya. Kami menceritakan niat kehadiran kami dan Badak membenarkan kami masuk ke dalam rumahnya. Beberapa orang rakan masuk bersama seorang ahli rumah (tidak silap ingatan) ke dalam bilik dan memeriksa sementara kami di ruang tamu bersembang dengan Badak dan rakan-rakan rumahnya yang sudah saya lupa namanya. Bagaimanapun sembang-sembang biasa itu bertukar menjadi tragedi bilamana seorang rakan saya bertindak melempang sehingga rebah kawan serumah Badak sementelah rakan-rakan yang memeriksa dari bilik ke bilik tidak menjumpai apa-apa.

Sehari kemudian, ketika saya lepak di rumah seorang rakan lama di Taman Cempaka, Ipoh, kawan saya yang melempang ahli rumah Badak telah dipanggil berseorangan ke satu kawasan perumahan separa siap. Dia diberitahu untuk datang bagi menyelesaikan hal semalam. Tanpa pengetahuan rakan saya itu, rupanya lebih dari berbelas buah motor telah menunggu di situ. Di sana dia dibelasah oleh mereka yang tidak puas hati kerana rakan mereka dilempang sedangkan tiada barang curi yang dijumpai. Tindakan kami hanyalah semata-mata atas keyakinan tetapi tiada bukti. Bila saya sampai di rumah, rakan saya yang dibelasah itu marah-marah. Satu rumah marah. Masing-masing mula menghubungi kawan-kawan. Saya berpatah balik ke rumah kawan di Taman Cempaka.

Malam itu kami sekali lagi bergerak ke rumah Badak beramai-ramai. Namun kali ini dalam lingkungan hampir 60 buah motor (jangkaan). Laluan ke rumah Badak yang terletak agak dalam di sebuah kampung menjadi sesak. Kiri kanan kereta saya penuh dengan motor-motor yang bergerak perlahan. Entah sesiapa kawan atas kawan yang bergerak bersama kami. Malangnya bila sampai di rumah Badak, mereka tiada di rumah. Ada seorang lelaki berambut dreadlock yang tidak saya kenali mengamuk-amuk di situ memanggil nama Badak. Akhirnya television yang boleh dicapai dengan tangan melalui tingkap rumah dipecahkan oleh lelaki tersebut. Kemudian kami beredar ke sebuah rumah yang lain. Saya rasa tidak perlulah saya ceritakan lebih lanjut apa yang berlaku. Ingatan pun makin kurang.

Beberapa hari kemudian, kami mengadakan perjumpaan di sebuah restoran mamak. Hanya ada 4 orang di antara kami dan Badak salah seorang darinya bersama seorang rakan rumahnya. Di situ kami meluahkan apa-apa yang kami tidak puas hati. Kalau tidak diselesaikan sekarang, perkara sebelumnya boleh melarat menjadi besar. Badak sayu menceritakan apa yang berlaku. Dia kata dia tak buat, dia tidak pernah mencuri barang-barang kami. Lebih menyedihkan, set televisionnya dirosakkan, terburai di atas lantai. Tambahnya, dia merasa malu bila dituduh sebegitu, mana mahu diletakkan muka di kalangan kawan-kawan politeknik yang tahu. Manakala rakan serumahnya menceritakan perihal dirinya dilempang. Sudahlah sakit pipi, maruah diri jatuh berderai.

Semena-mena terbit rasa simpati pada diri saya, malah kawan saya juga turut bersimpati. Rasa bersalah mula bersarang di dalam hati. Menuduh tanpa bukti, melakukan kekerasan fizikal dan merosakkan harta benda, kami mula merasakan kami sudah jauh bertindak dan menyimpang. Selepas berbincang berjam lamanya, kami berpelukan semasa mahu pulang. Saya minta maaf sungguh-sungguh. Tak dapat digambarkan bagaimana sayunya rasa hati ketika itu.

Tidak lama kemudian, sewaktu saya sedang tidur, lebih kurang 3 pagi waktunya, datang seorang rakan mengejutkan saya dari lena. Dia mengkhabarkan, Badak tertangkap mencuri di rumahnya. Katanya Badak ada kunci pendua dan menyelinap masuk sewaktu orang lain sedang nyenyak tidur. Saya yang sedikit mamai ketika itu terus bergerak ke rumah rakan saya itu. Bila saya sampai dan masuk ke dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat atas rumah, saya lihat lebih kurang 40 orang (jangkaan) berada di dalamnya sehingga melimpah keluar. Badak terduduk separuh baring di hujung bilik. Dia merayu agar dilepaskan dan tidak dipukul lagi. Semena-mena saya menyirap. Ingatan bagaimana saya memeluk dirinya dan meminta maaf datang bertali arus..

Cerita ini berlaku 6-7 tahun lepas. Banyak cerita yang saya langkau kerana lupa tetapi isinya tetap sama.

Bersambung..

Related Posts by Categories



6 comments:

eyf said...

knp cerita nih tak abes??? huk2....

eVy-D-YaNa said...

& kenapa tajuk dia tak mcm selalu bla buat cerita sambung2...xda tulis permulaan lak kali ni ek...huhu~

chillsberry said...

eyf: cerita ni akan habis. cuma ditulis sikit demi sedikit. keep on reading :)

evy: u are indeed a good observant :)

eVy-D-YaNa said...

mesti la..evy kan pembaca setia blog a.amin..reward plis!~ (hehe...just kidding~ ;P)

uh, evy perasan, a.amin sambung terus cerita tu kat post yang sama & I've read that~~ :)

iley said...

aah. cepat la abis kan.

Crippersz said...

alamak.. ni citer lame ni. terus2 kan.. kisah benar,, boleh buat filem