Saturday, February 28, 2009

Baik Ko Blah III

  1. Dia seorang sahabat yang baik. Sebaik sahabat-sahabat saya yang lain.

  2. Banyak jasanya kepada saya. 

  3. Tetapi jasa yang baik itu tidak boleh saya jadikan alasan untuk terus membiarkan dirinya hanyut dari matlamat kami di sini: "Kenapa saya berada di UTP?" 

  4. Poyo? Terpulanglah. Tetapi sudah sedekad di sini, itu sesuatu yang serius. Tindakan radikal tanpa memperdulikan akibatnya adalah opsyen yang tinggal. Percayalah. Saya tidak peduli. 

  5. Mahu seranah? Mahu kutuk? Mahu pulau? Saya tidak mampu membuat apa-apa untuk menghalangnya. Mahu pukul? Itu mungkin akan memerlukan sedikit reaksi. 

  6. Saya sudah cuba segala-gala yang mampu. Tidak perlulah diungkitkan lagi. 

  7. Saya cuma sedikit terkilan. Pengorbanan langsung tidak dihargai. 

  8. Dan saya juga rasa dipermainkan. Sifat marah saya diperbodoh-bodohkan. 'Slow Talk' macam tidak ada apa kesannya. Terus sahaja ligat dalam dunia khayalan. Mungkin ini bala atas kesilapan saya sebelum ini. 

  9. Dia sudah pun pulang ke kampung halaman. Tetapi percayalah, saya lebih suka dirinya terus berada di sini. Menyiapkan kerja-kerja akhirnya...dengan sedikit tumpuan. 

  10. Ini adalah siri akhir. Saya tidak mahu fikir lagi. Noktah. 

  11. Cukuplah. 

Pos seterusnya: 1. Char Kuey Teow | 2. Kenapa Kau Taksub Sangat Ni? | 3. Hantu. Ada Kaitan Ke Dengan Budaya? | 4. Speaking Is Not A Crime! | 5.  1999 | 6. Gila-Gila Remaja 

Tuesday, February 17, 2009

Baik Ko Blah La II

Salah
  1. Selalu kita mendengar, di akhir rangkap ucapan, pasti diungkapkan "yang baik datang dari Tuhan, yang buruk datang dari-Nya juga tetapi dibahasakan atas diri sendiri."

  2. Selalu juga, kita diajar, dididik dan dibasuh, "jari telunjuk yang menunding ke depan, tiga yang lain menunding balik ke diri."

  3. Apa-apa musibah yang berlaku terhadap diri kita, pastinya disebabkan kesalahan diri kita sendiri.

  4. Payah. Cakap memang la senang. Tetapi itulah realitinya.

  5. Sejak dari kecil lagi, saya memang suka salahkan sesuatu bila terjadi sesuatu. Kalau tidak dihalakan pada manusia, sudah tentu pada Tuhan yang maha Esa. Mengadu beb. Dia sahajalah yang sudi mendengar tanpa prejudis.

  6. Seronok mencari salah orang lain. Melegakan perasaan. Tetapi terlupa silap sendiri. Akhirnya, bila asyik menyalahkan orang lain, kita terlupa sesuatu. Membetulkan diri dan berusaha.

  7. Kadang kala, bila fikir-fikir balik, ada bagus juga menyalahkan diri walaupun sangat jelas kita rasa itu bukan salah kita. Mungkin dengan itu, kita ada kesedaran untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.

  8. Saya sebenarnya tertarik membaca blog salah seorang rakan kenalan saya. Situasinya lebih kurang begini. Petronas menubuhkan Universiti Teknologi Petronas. Kemudian Petronas memberi biasiswa kepada pelajar yang layak. Sudah tentu pelajar yang layak itu bukan calang-calang manusia. Sebulan RM500 (atau lebih?) sudah cukup mewah untuk mereka yang masih bergelar pelajar. Namun ada yang lupa diri dan ada yang bersyukur. Yang lupa diri itu bila mereka sudah tidak mahu belajar tetapi masih mahu berada di UTP. Tidak mengapalah. Mungkin mereka boleh berubah suatu hari nanti. Kelemahan manusia. Sesuatu yang normal dan boleh diterima. Masih, Petronas menyalurkan biasiswa kepada mereka ini. Beruntungnya. Namun bertahun-tahun kemudian, gred semakin teruk. Tidak meningkat tetapi bersifat menurun. Petronas mula mengenakan kaedah baru. Tarik balik biasiswa kecuali sekurang-kurangnya gred 2.00. Ada yang marah. Mula berkata itu dan ini. "Petronas kaya gila kut, nak stop schollar buat apa? Mana duit tu pergi? Ouh KLCC. Shit!" Kalau yang jenis baran, mula menumbuk dinding, melepaskan geram. Hampir patah jari dibuatnya. Kalau ada blog, dikarangnya perenggan untuk memburukkan Petronas. Rasional? Entahlah.

  9. Ada juga yang tidak marah. Mula berubah. Perlahan-lahan. Kemudian, mereka dapat biasiswa mereka kembali. Hidup kembali normal. Tidak menyusahkan mak ayah lagi. Baguslah.

  10. Pada yang marah itu, mula mencari punca untuk disalahkan. Normal. Perkara biasa dalam kehidupan manusia. Saya faham itu sebab saya pun begitu.

  11. Tetapi pantangnya bila kita menghasut orang lain. Meracuni pemikiran untuk membenci sesuatu walaupun masalah itu datang kerana salah diri.

  12. Situasi itu membuatkan saya terfikir. Rasional ke nak salahkan biasiswa yang sangkut bila kita yang tak mahu berusaha? Bila kita sudah berubah, gred semakin ok tetapi masih juga biasiswa sangkut, baru kita boleh dakwa kita dianiaya. Baru kita boleh kata, "dorang buat KLCC, KLIA, Sepang International F1 Circuit et cetera tapi nak bagi duit support belajar pun susah, damnit!"

Respect
  1. Saya sangat percaya ini. Tiada siapa yang layak bagi nasihat. Nasihat hanya layak diberi bila dipinta, ataupun dari seseorang yang sangat-sangat dihormati. Kadang kala, terasa nasihat itu hanya diberi untuk menunjukkan diri macam bagus. Tambah-tambah bila nasihat itu datang tanpa diminta. Menyampah gila ok!

  2. Zaman sekarang, maklumat lebih diperlukan dari nasihat. Entahlah. Mungkin saya ego. Sebenarnya, saya tak layak pun menulis ini. Siapa saya? Junior? Senior? Orang lama? Ada jawatan? Ada pangkat? Ada kredibiliti? Layak ke nak bercakap?

  3. Entahlah.

  4. Tapi saya sangat percaya ini. Bila kita berada di rumah orang, kita harus menghormati tuan punya rumah. Tidak kira tetamu itu siapa, Perdana Menteri, Agong, Sultan ataupun betapa tinggi pun darjat dia di muka bumi ini, bila kita berada di rumah orang, pandai-pandailah bawak diri.

  5. Bila tuan rumah kata, jangan hisap rokok di dalam rumah (sebagai contoh ye), janganlah hisap. Bila tuan rumah kata, jangan buang sampah merata-rata, jagalah kebersihan. Saya rasa tak perlu tuan rumah cakap pun, ini adalah common sense. Jangan kurang ajar di rumah orang, bukan? Respect.

  6. Kalau tuan rumah bagi nasihat, dia berhak walau dia tidak layak. "Eh engkau, dok umah aku nak sambung belajar kan? Hah gi lah study!" (sebagai contoh ye)

  7. Maaflah kalau tulisan ini semacam emo. Mana taknya. Hampir setahun aku bersabar bai.

  8. Bersambung.
Pos seterusnya: a. Baik Ko Blah III | b. Char Kue Teow | c. Kenapa Kau Taksub Sangat Ni?

p/s: Aku sangat benci dengan orang yang burukkan kerajaan, walaupun sekarang aku rasa tak selesa dengan kerajaan yang ada. Mungkin perlu untuk tulis ini, tentang apa yang terbuku selama ini. Sejak 1999 sampailah sekarang.

p/s2: Apa-apa komen aku terima. Nak bantai aku, bantailah. Aku hanya nyatakan pendirian. Tapi kalau personal attack, vulgar words and profanities, maaflah. Terpaksa padam. Terima Kasih.

Tuesday, January 27, 2009

Baik ko blah la


  1. Semua orang tahu, saya tidaklah cerdik orangnya apatah lagi bijak. Dan saya rasa hampir semua pun tahu, terutamanya mereka yang sudi melawat blog saya sejak zaman slumber-jer berleluasa, yang saya ini, semasa kecilnya dimasukkan ke kelas permulihan.

  2. Masa itu saya sangat malu. Dari kumpulan A cikgu tukarkan saya ke kumpulan C. Terpaksa meninggalkan kawan-kawan rapat yang saya kenal sejak awal persekolahan. Cuma saya terasa hati sedikit dengan seorang sahabat baik saya, Mahadi namanya. Kerana saya telah direndahkan darjat, dia tidak mahu beratur dengan saya lagi. Waktu itu, semasa beratur, perlu berpasangan dan berpegangan tangan. Bila saya cuba memegang tangannya, dia melepaskan dan katanya, dia tidak mahu beratur dengan budak kumpulan C. Saya terpinga-pinga tetapi apakan daya saya. Tetapi saya sangat berterima kasih dengan Mahadi, kerana dia saya cuba berusaha bersungguh-sungguh walaupun tidak secemerlang mana.

  3. Kemudian, bila saya di sekolah menengah, masalah baru melanda saya. Bahasa Inggeris! Waktu itu saya memberontak dengan falsafah saya. Kenapa perlu orang Melayu di tanah air sendiri perlu belajar bahasa penjajah bukan? Kenapa Jepun, Perancis, Jerman dan negara-negara maju lain sangat bangga dengan bahasa mereka? Ayah saya, entah berapa banyak duit dihabiskan membeli kamus-kamus dan buku-buku, supaya kami adik-beradik lancar berbahasa Inggeris. Namun, bila saya menjengah tingkatan 4, saya cuba mengubah persepsi saya. Mungkin kerana saya dimasukkan ke set 4, kumpulan yang paling jahil sekali dalam kemahiran berbahasa Inggeris. Tetapi yang utamanya hanya kerana cikgu kelas bercerita kepada kami. Tentang kenapa kami semua ditempatkan di dalam bilik audio video sekolah sedangkan set 1, 2 dan 3 di dalam kelas. Kata cikgu, pihak pengurusan sekolah tidak mahu kami mengganggu pelajar-pelajar set lain. Mungkin persepsi mereka waktu itu, terdapat budak-budak nakal di dalam kelas kami. Biasalah, budak bodoh selalu dikaitkan dengan kenakalan. Lalu kami diasingkan. Betapa terasa hinanya saya. Tetapi saya bersyukur, kalau tidak dibuat begitu, saya tidak akan cuba berusaha untuk memahami bahasa Inggeris.

  4. Sekarang, hampir semua kawan-kawan saya tahu. Saya masih menuntut ilmu di salah sebuah universiti tempatan. Menjengah 26 tahun dan sepatutnya sudah ada 2 orang anak. Haha. Pada mulanya, saya berasa seronok untuk berada lama-lama di sini. Tetapi berubah selepas adik perempuan saya, yang usianya kurang setahun dari saya, tamat belajar sejak 2-3 tahun yang lepas dan kini sudahpun menghadiahkan 2 buah rumah untuk ibu bapa saya. Dan saya masih di sini, berseronok dalam dunia yang tidak nyata. Betapa tercabarnya saya.

  5. Alhamdu lillah, harap-harap ini adalah semester terakhir saya di sini. Semoga segalanya dipermudahkan.

  6. Sebenarnya, saya bukan hendak bercerita tentang pengalaman lalu. Saya berada dalam dilema terhadap seorang rakan saya. Apakah pilihan terbaik yang perlu saya lakukan terhadap dirinya?

  7. Kawan, kalau kau baca pos ini, biar aku berterus-terang. Ini adalah gelombang ke-dua. Gelombang pertama tak menjadi bila kau masih tidak mahu berubah. Tolonglah, jangan sampai gelombang ke-tiga. Aku masih menghormati kamu sebagai orang yang lebih tua! Masa berjalan dan masa tidak akan menolong..

  8. Bersambung.

Pos seterusnya: Baik ko blah la II

Tuesday, January 20, 2009

Palestin


  1. Cerita Tun, nak jihad boleh, tetapi boleh menang ke? 
  2. Orang Islam buat kesalahan besar iaitu menolak ilmu Sains dan Matematik pada abad ke-15.
  3. Kerana tidak tahu ilmu Sains dan Matematik, kita tidak boleh membangunkan senjata canggih sehinggakan orang Islam terpaksa bergantung kepada AS atau Rusia untuk mendapatkan senjata.
  4. Adakah anda fikir AS akan memberi senjata (tercanggih) kepada orang Islam untuk memerangi mereka? Kalau ada ilmu kita boleh bina senjata canggih sendiri.
  5. Sebelum abad ke-15, zaman kegemilangan Islam ada ilmu Sains dan Matematik sehingga mampu membina tamadun canggih malahan orang Eropah datang untuk belajar dengan orang Islam.
  6. Selepas abad ke-15, hanya pendidikan agama diutamakan menyebabkan umat Islam ketinggalan.
Pos seterusnya: Baik ko blah la.

Friday, January 9, 2009

Azam


  1. Semakin ramai yang memperkatakan tentang azam tahun baru mereka. Saya pula masih berkira-kira. Banyak azam saya tetapi yang mana satu patut diutamakan? Lalu seperti biasa saya terbaca artikel dari Tun.

  2. "Untuk menjadi bangsa maju kita perlu ilmu pengetahuan yang luas. Hanya boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan kita bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa maju yang lain."

  3. Ini adalah sebahagiannya sahaja yang dipetik. Untuk artikel penuh, silalah lawat blog Tun. Blog penjana ilmu dan mentaliti yang betul. Kalau mempertikaikannya, oh tidak mengapalah. Tun hanyalah bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Siapalah dia kan?

  4. Lalu apakah azam tahun baru saya.

  5. Nak fasih berbahasa Inggeris dari segi penulisan dan percakapan. Oh, kalau diizinkan, lancar macam minum air, boleh?

Post seterusnya: Palestin - Cerita Tun.

Saturday, December 20, 2008

Jamban. Ada kaitan ke dengan budaya?


  1. Saya tertarik untuk memetik sebahagian ayat dari blog Soppy di bawah tajuk "Ditagged oleh Kish". Kata Soppy dalam blognya itu,  "Dan aku sangat benci jamban duduk."

  2. Teringat pula sahabat baik saya yang juga orangnya tidak suka dengan jamban duduk apatah lagi menggunakan tisu.

  3. Bagaimana dia meluahkan perasaannya kepada saya, sewaktu menjalani latihan industri di bangunan berkembar milik syarikat gergasi negara.

  4. Katanya, jamban-jamban di situ semuanya menggunakan air yang dipancut dari dalam, dan kebanyakkannya jamban duduk. Kalau ada tandas cangkung, daripada 10 mungkin hanya 1. 

  5. Bagaimana dia terasa sukar untuk membuang air besar di sana. Oleh kerana tidak terbiasa dengan keadaan sebegitu, dia terpaksa berjalan kaki tergesa-gesa menuju ke tandas LRT. Oleh kerana dirinya ada pas bulanan, maka keluar masuk tidak menjadi masalah. Di situ ada tandas cangkung dan yang pentingnya sekali, air tak dipancut dari dalam. Deras juga airnya di situ. Terasa yakin suci. "Ini baru selesa!" katanya kepada saya.

  6. Bukan tidak pernah mencuba, tapi sangat sukar dan fikiran tidak tenang selepas menggunakannya. Was-was. 

  7. Namun selepas dua ke tiga bulan berlari-lari anak turun dari tingkat lima dan bergerak sejauh lebih kurang 800m setiap kali sakit perut, terpaksa juga memaksakan diri menghilangkan was-was menggunakan tandas sebegitu. Itupun selepas mendapat tunjuk ajar dari kakitangan yang telah lama bekerja di situ.

  8. Ujar mereka, "kat level 4, ada library, situ ada tandas baik punya. Kau masuk amek bilik last skali."

  9. Terkenang pula ajaran Docmat. Sewaktu dia menuntut di luar negara, bagaimana pihak pengurusan universitinya selalu merungut, perihal jamban duduk yang terpaksa ditukar ganti selalu. Kebanyakkan pelajar Asia sudah biasa menggunakan tandas cangkung. Lalu kerana itu, walaupun disediakan jamban duduk, mereka tetap naik ke atasnya dan mencangkung. Jamban duduk menjadi rosak. Terpaksalah ditampal notis supaya menggunakan jamban duduk dengan betul, jangan mencangkung!

  10. Ahhh jamban. Ada kaitan ke dengan budaya?  

Wednesday, December 17, 2008

Antropologi

  1. Docmat mengajar kami dalam kelas antropologi budaya nya. Budaya itu penting. Sangat penting. Sebagai perbandingannya, budaya Melayu sangat berbeza dengan budaya kaum Eskimo yang tinggal di Alaska. Sertanya juga, sangat berkait rapat dengan suasana persekitaran dan alam sekitarnya.

  2. Docmat bercerita lagi. Dalam kaum eskimo, mereka mempunyai pelbagai makna bahasa untuk salji (bahasa juga merupakan salah satu elemen budaya) kerana dipengaruhi persekitaran mereka yang membeku. Seperti kaum Melayu yang tinggal dalam suasana khatulistiwa. Kita memiliki banyak makna untuk hujan. Hujan lebat, hujan rintik, hujan panas dan sebagainya sedangkan di dalam bahasa Inggeris, mereka hanya mempunyai satu perkataan iaitu 'Rain'.  

  3. Mungkin ada perkataan-perkataan lain (saya tidak pasti) tetapi tidak sebanyak  perkataan hujan dalam bahasa Melayu/Malaysia (betulkan saya jika fakta ini salah atau perlu ditambah).  

  4. Cerita Docmat lagi, tempat kami belajar ini direka oleh arkitek Eropah. Mereka mencipta bangunan-bangunan yang sungguh indah. Kawasan yang asalnya bekas lombong bijih timah yang tandus menjadi tempat yang sangat menarik. Sesuai untuk persekitaran pembelajaran yang kondusif. Namun mereka terlupa elemen alam dan keadaan geografi setempat itu berbeza dari negara asal mereka. Akibatnya, bangunan yang indah siap dibina tanpa satu pun sistem saliran longkang. Bila hujan lebat, habis banjir.  

  5. Saya mendapat tahu khabar angin dari rakan-rakan, server-server (boleh tahan juga mahalnya) yang diletakkan di bawah tanah rosak teruk tidak boleh digunakan lagi kerana ditelenggami air. Hanya selepas itu, barulah mereka membina saliran longkang untuk mengalirkan air.  

  6. Cerita itu menguatkan keyakinan saya terhadap apa yang telah diajarkan oleh Docmat. Lalu baru-baru ini terjadi bencana alam(?) di Taman Bukit Mewah. Setakat hari ini 4 orang direkodkan terkorban.  

  7. Mungkinkah perlu ada panel aspek-aspek budaya setempat  dalam pembinaan selain dari kejuruteraan. Mungkinkah perlu projek-projek ala 'Beverly Hills' dihentikan di seluruh Malaysia? Mengambil kira keadaan setempat yang panas dan hujan sepanjang tahun!