Sunday, September 28, 2008

Seram lah sangat

  1. Saya pernah baca ini. Saya tidak ingat bila. Mungkin umur saya 12 atau 13 tahun. Sangat menarik! Sekurang-kurangnya untuk saya ya. Dikeluarkan dalam majalah Ujang. Penulis dan pelukisnya oleh kartunis Bawang jika tidak silap saya. Lalu saya ingin menceritakan kembali. Di sini. Saya terpaksa mengolah jalan ceritanya. Mengikut acuan ingatan saya. Saya mulakan ya.

  2.  Hari itu Rudy pulang ke kampung. Mahu berhari raya bersama keluarga tercinta. Waktu itu malam. Tepatnya tengah malam. Rudy memang tidak biasa balik semasa siang. “Panas!” katanya. Rudy balik berseorangan. Dia memang berani orangnya. Tidak kisah memandu seorang diri dalam jarak perjalanan yang jauh. Waktu malam pula. Rudy semakin hampir ke destinasi. Semena-mena Rudy merasakan keretanya tidak stabil. Rudy memberhentikan kereta, betul-betul di bahu jalan. Jalan sungguh sunyi. Gelap. Hanya ditemani cahaya bulan dan cahaya lampu kereta. Samar-samar di sekelilingnya. Ladang getah di kiri kanan. “Ahhhrgh!” bentak Rudy. Tayar sebelah belakang pemandu bocor. Pancit dan kempis. “Masa inilah dia nak buat hal!” rungut Rudy. Dia membuka but kereta. Mengeluarkan tayar simpanan. Rudy sibuk memulas spanar.

  3. Rudy tidak tahu dirinya sedang diperhatikan. Dia langsung tidak sedar. Rudy dihampiri. Pun dia tidak sedar lagi. Dalam hening malam, sesusuk lembaga berjalan perlahan-lahan ke arah Rudy. “Kus semangat pakcik! Hampir pengsan saya tadi, pheww..saya ingat apalah tadi haha, “ Rudy cuba menenangkan diri selepas terkejut besar. Agak lama juga jantungnya berdegup kencang. “Pakcik nak ke mana seorang diri tengah-tengah malam macam ni?” Rudy cuba berbual. Namun tiada jawapan. Rudy termangu. Dia melihat seorang lelaki tua berpakaian aneh, kasar dan selekeh. Badannya agak membongkok dan kedut seribu jelas kelihatan di wajahnya. Rudy mengagak pastinya lelaki tua itu dalam lingkungan 70 tahun ke atas. Bulu roma Rudy meremang. Rudy tidak pasti mengapa.

  4. Tiba-tiba sahaja lelaki tua itu mengambil spanar dari tangan Rudy. Lantas sekejap sudah tayar yang kempis ditukar ganti. Rudy kagum. Dalam umur-umur sebegitu kudratnya masih kuat. Walaupun terkejut spanar dari tangan Rudy dirampas begitu sahaja, Rudy sangat berterima kasih pada lelaki tua itu. Dia pun lelah juga hendak menukar tayar. Biasalah kononnya orang bandar. Malas menggunakan tenaga. Rudy menawarkan diri menghantar pulang, sebagai membalas jasa. Tambah-tambah malam yang gelap gelita sebegitu. Kejam membiarkan lelaki tua itu berjalan seorang diri. Tanpa mengungkapkan kata setuju atau menganggukkan kepala, pantas sahaja lelaki tua itu membuka pintu dan duduk di sebelah pemandu. Rudy merasa pelik tapi dia membiarkan sahaja.

  5. Mereka menyusuri jalan yang gelap gelita. Rudy cuba berbual. Memecahkan kesunyian. “Pakcik mahu saya hantar ke mana ya?” Tanya Rudy. Lelaki tua itu hanya mengangkat tangan kanan dan melunjurkan jari telunjuk ke hadapan. “Pakcik ni bisu ke?” ngomel Rudy di dalam hati. Rudy tidak berputus asa. Dia terus sahaja berbual. Mengharapkan lama-lama nanti pasti lelaki tua itu mengeluarkan suara.

  6. “Pakcik tak takut ke jalan sorang-sorang dalam gelap tadi?” tanya Rudy. Masih lelaki tua itu mendiamkan diri. “Pakcik tak takut hantu, makhluk halus mengganggu pakcik? Saya banyak dengar cerita kawasan tadi keras tempatnya,” celupar sahaja mulut Rudy.

  7. “Ahhh aku tak percaya! Zaman sekarang mana ada hantu, semua karut!” Lelaki tua itu membentak, mengeluarkan suara seperti yang diidam-idamkan Rudy.

  8. “Pakcik pasti? Pakcik tak pernah dengar pasal hantu Rudy? Sayalah!”

  9. "..........."

  10. “Warghhhhh!!!!”

  11. “…….......”

Thursday, September 25, 2008

Ayah

  1. Semalam, lepas sahaja saya menyiapkan laporan projek tahun akhir (aaahh sempurnanya bahasa atau skema? Ahah), saya berehat-rehat. Menenangkan kepala. Merehatkan fikiran. Rasa seperti mahu sahaja saya format otak. Menghiburkan diri dengan filem-filem yang berlambak-lambak dalam network UTP. Lalu saya pun menghidupkan DC++, sebuah program yang telah saya ikrarkan sebelumnya, “Selagi FYP aku tak habis, aku tak sentuh kau!” Tapi semuanya sama sahaja. Cerita-cerita yang telah saya layan sebelumnya. 

  2. Bosan. Nak main Warcraft, ramai gamers dalam rumah saya sudah pun bahagia berangkat pulang sempena raya. Termasuklah rakan sebilik yang dah pun selamat sampai ke Terenggganu dua hari lepas. Nak masuk Bnet, tak sampai taraf. Keputusan akhir, saya pun melayari internet. Masuk blog sendiri, nak tulis apa ini? Takder idea. Masuk blog orang, duduk diam-diam, sepuntung rokok di jemari dan baca. Dari blog ke blog saya layari sehinggalah saya sampai di sini;

  3. http://ciksunshine.blogspot.com/2008/09/thismade-me-cry.html 
  4. Dan membawa saya ke sini;
  5. http://ilisyazwani.blogspot.com/2008/09/ayah.html#links 

  6. Bacalah. Saya sangat terharu membacanya. Saya tidak kenal siapa Ili Syazwani tu. Tapi saya pasti, dia mampu membawakan jalan cerita yang baik, yang menangkap hati semua orang. Tentang ayah. Tentang pengorbanan mereka terhadap kita dan bagaimana kita memberontak bila kehendak hati tidak dipenuhi. 

  7. Lalu saya teringat ayah saya. Semua orang ada kisah masing-masing. Mungkin saya juga ada sesuatu yang ingin dicoretkan. Bagaimana hubungan kami renggang sejak saya berumur 15 tahun. Tetapi dia tidak pernah gagal untuk menyara kehidupan saya. Seperti orang lain, tiada sebenar ayah yang tidak sayangkan anaknya. 

  8. Diinspirasikan oleh Ili Syazwani. Menanti waktu sehingga semua kerja saya selesai. Err di depan ayah saya, saya sangat malu untuk katakan ini dan tidak pernah pun. Tetapi saya sayang dia. Sungguh! Terima kasih Ili Syazwani!   

Wednesday, September 24, 2008

Cantik

  1. Dulu saya suka wanita yang bertudung dan kurang gemar pada yang tidak. Waktu itu saya selalu melihat mereka yang bertudung itu, sesuatu yang mempesonakan. Dan saya percaya, mereka ini pandai menjaga kehormatan dari lelaki-lelaki liar seperti saya ahah. Ciptaan Tuhan yang indah dan ayu, ditutup pula kepalanya. Tolong, saya tidak bercakap dari segi hukum. Saya melihatnya dari sudut kecantikan dan sifat personaliti. Maksud saya, mereka yang bertudung itu lebih cantik dari mereka yang tidak. Labih anggun dan ya, menambah daya pemikat pada pemakai. Saya tidak bermaksud mengatakan mereka yang tidak bertudung itu, tidak cantik. Wanita mana yang tidak cantik? Kalau ditanya pada saya sebagai seorang lelaki, ya mereka memang dilahirkan cantik. Cantik adalah sesuatu yang subjektif, bukan? Terpulang pada tafsiran masing-masing. 
  2. Dan ada yang berkata, tudung itu wajib. Saya tidak menafikannya. Hukum adalah hukum. Itu seperti apa yang ditanam pada saya sejak kecil. Tapi saya juga percaya, apalah gunanya hukum pada seorang perempuan yang bertudung tetapi terpaksa melakukannya. Sesuatu yang tidak datang dari hati, akan kecundang juga akhirnya. Lalu didikan yang berterusan itulah yang terbaik. Lalu adakah kita akan membenarkan mereka yang tidak mahu bertudung, tidak bertudung? Saya bukan seorang perempuan, namun saya percaya, wanita yang normal akan menyerahkan dirinya pada dua entiti sepanjang hayatnya. Keluarga dan seterusnya suami. Terpulang pada mereka ini untuk menentukan. Lalu mungkin kerana itu, ada pendapat yang mengatakan dosa si anak perempuan yang belum berkahwin, tertanggung pada keluarganya. Dosa si isteri, tertanggung pada suaminya. 
  3. Lalu kalau ditanya pada saya, bagaimana kamu? Saya tidak menghalang adik-adik perempuan saya untuk tidak bertudung, ayah juga tidak menghalang. Mungkin ada yang berkata “Ke nerakalah kamu nanti!” Saya tidak pasti, jika saya kuat beramal pun, adakah saya akan ke syurga? Adakah layak saya ini untuk ke sana? Tetapi mampukah saya di neraka? Selamat di dunia dan balik ke sana, cukuplah buat saya. Satu-satunya harapan yang saya ada. Namun saya bernasib baik, adik-adik perempuan saya bertudung. Kira terlepaslah, bukan? 
  4. Dan kalau ada yang bertanya lagi, “Bagaimana dengan bakal isterimu nanti? Apakah pilihan?” Saya tidak pasti. Dulu ya, kalau boleh biarlah yang bertudung. Kerana mereka sangat cantik. Geram saya dibuatnya ahah. Tetapi kalau ditetapkan dengan mereka yang tidak, apalah salahnya? Kalau hati sudah suka, semuanya boleh jalan sahaja. Dan saya tidak menghalang. Jika mahu atau tidak bertudung, terpulang pada hatinya. Biarlah kerana kehendak diri, bukan terpaksa. Cukuplah jika saya dapat merasa perasaan melindungi dan menyayangi dirinya seadanya. 
  5. Dan mungkin, ada yang akan berkata lagi, “Ahh tadi kamu katakan yang bertudung itu pandai menjaga kehormatan diri, bagaimana sekarang?” Saya silap. Saya khilaf. Siapalah saya untuk menghakimi mereka yang tidak bertudung bukan? Kita semua sama sahaja. Baik yang bertudung atau tidak, semuanya ada perasaan liar di dalam diri masing-masing. Tepuklah hati. Lihat diri sendiri. 
  6. Dan sebelum saya menamatkan coretan, biarlah dijelaskan, saya bukanlah lelaki yang baik dan cantik moralnya. Ramai yang berkata, saya begini dan begini. Saya tidak menafikannya. Malah kalau diletak wanita yang tidak ada seurat benang di hadapan saya, saya tidak pasti, mampukah saya untuk menahannya. Lalu saya ini jahil, jika ada yang salah pada tulisan ini, maafkanlah dan betulkanlah dengan caranya. 
  7. Oh ya, saya masih mencari Solehah. Tolong saya ya.

Monday, September 22, 2008

Dicari

  1. Saya percaya ini. Dulu saya agak aktif dengan Grapevine. Satu-satunya forum komuniti di UTP yang saya sertai ketika itu. Terdapat satu pos yang saya hantar. Lalu menyebabkan saya berpeluang bertemu dengan beberapa kawan baru. Kawan-kawan itu sebenarnya satu persekolahan dengan saya dulu. Mungkin saya mahu melakukannya kembali. 
  2. Sewaktu darjah empat, saya belajar di sekolah Haji Mohd Sharif, Alor Setar, Kedah. Waktu itu, saya berkawan baik dengan seorang perempuan. Namanya Solehah. Kami sangat rapat sehinggakan waktu belajar pun kami boleh bermain bersama. Lalu satu hari terjadi sesuatu yang membuatkan kami tidak berkawan lagi. Ketika itu di dalam kelas. Saya baru sahaja kembali dari meja seorang rakan. Saya terserempak dengannya. Mahu tahu apa terjadi? Tiba-tiba sahaja kami boleh bermain. Permainannya ialah memijak kaki. Saya tidak ingat apakah nama sebenarnya. Tetapi ia cukup popular waktu itu. Tanpa kami sedari, cikgu kelas yang sedang menanda buku di meja sedang memerhatikan kami. Lalu terdengar nama kami dipanggil. 
  3. Kesilapan saya ialah “Dia cikgu, dia yang mulakan dulu.” Solehah hanya mendiamkan diri. Kami didenda ketuk ketampi di hadapan kelas. Sejak itu saya tidak bercakap dengannya lagi. Tetapi di dalam hati saya, sangat merindui untuk berkawan dengannya seperti dahulu. Cuma saya malu dengan kesilapan yang saya buat. Sehinggalah ayah saya dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Kuala Lumpur. Saya tidak berpeluang untuk bercakap dengannya dan memohon maaf sehinggalah ke hari ini. 
  4. Jadi saya sangat berharap. Sangat berharap suatu hari nanti saya dapat berjumpa dengan Solehah kembali. Saya tidak ingat nama penuhnya. Jadi jika ada sesiapa yang mengenali ataupun tuan empunya badan membaca tulisan ini, tolong hubungi saya. Saya boleh ditemui di sini. Mungkin sangat mustahil, tetapi siapa tahu bukan?
  5. Dicari: Solehah | Maklumat terakhir: Tahun 1993, SRK Haji Mohd Sharif, Alor Setar, Kedah.
  6. Oh ya, sebelum terlupa, selamat datang ke blog saya. Baru sahaja saya membuatnya. Sedikit isi sudah bermain dalam fikiran. Cuma kulitnya sahaja yang belum. Selamat membaca!