Thursday, September 10, 2009

Pangkat: Permulaan

Semasa saya di sekolah menengah, saya mengikuti ayah ke tempat dia mencari rezeki, di sebuah sekolah. Ayah sudah lama berhenti (tanpa pencen) dengan kerajaan sebagai pengamal undang-undang. Ayah meninggalkan kerja tetap dan selesa dengan pangkat tinggi serta gaji lebih 6000 sebulan. Dia mahu buat perkara yang dia minat lakukan, memperjuangkan perkara yang dia percaya ke dalam masyarakat setempat. Dia banyak menulis, berceramah dan juga mengajar. Berbelas buku karangan ayah telah berjaya diterbitkan untuk membantu perjuangan dia.

Di sekolah itu, saya membantu ayah menjaga buku semasa dia sibuk berceramah. Apabila tiba masanya, saya akan menjual buku-buku itu. Kebanyakan siri ceramah ayah dilakukan secara percuma. Hasil jualan buku-buku karangan ayah digunakan untuk menampung kos operasi dan sedikit tampungan untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga.

Selesai berceramah, ayah didatangi seorang pesara polis. Mereka bersembang-sembang. Perbualan itu berlanjutan sehingga ke kantin sekolah. Ketika itu, tugas saya sudah selesai. Saya duduk semeja dengan mereka, mengisi perut yang lapar. Oleh kerana hampir dengan mereka, mahu atau tidak mahu, saya mendengar apa yang dibualkan ayah dengan pesara polis itu, saya kira umurnya mungkin dalam lingkungan 60an.

Saya mendengar dirinya memanggil ayah dengan panggilan Tuan. Entah beberapa kali ayah memohon dengan cara baik agar tidak memanggilnya begitu. Ayah pun sudah lama berhenti kerja kerajaan. Tapi, tetap dipanggilnya juga. Saya melihat ayah terlalu muda jika dibandingkan dengan dia.

Dengan pantas, saya membina persepsi di situ. Betapa pegawai dalam sesuatu organisasi dilatih untuk menghormati dan mengikut arahan pemimpin atasan mereka. Sikap itu terbawa-bawa walaupun mereka telah bersara. Saya fikir, jika sikap setia itu jatuh ke tangan pemimpin yang salah, korup dan suka memanipulasi orang lain untuk kepentingan sendiri, mungkin akan jadi penyalahgunaan kuasa yang dasyat dan boleh menghancurkan keseluruhan struktur organisasi. Saya juga fikir, kalau ketua bersikap angkuh dan hanya baik dengan orang yang lebih atas dari mereka, pengikut akan lari. Mungkin pembodek sahaja yang akan tinggal.

Saya juga menimbangkan, jika mempunyai pengikut yang tidak tahu mengikut arahan dan kurang ajar dengan pemimpin, bagaimana kerja mahu jalan? Mungkin perkembangan kemajuan menjadi terbantut. Saya melihat para rakyat yang tidak tahu menghormati pemimpin ataupun bekas pemimpin mereka seperti sangat membahayakan. Seperti yang berlaku hari ini. Generasi muda yang mengutuk Tun Dr. Mahathir itu dan ini, memberi nama yang tidak elok dan lain-lain (sebagai contoh). Ahhh..macamlah mereka pandai dan bijak sangat. Kalau tidak suka, berlalu sahajalah ke tempat lain. Seperti saya. Hehe.

Seperti golongan pengikut yang selalu diberi kursus, mungkin, golongan pemimpin juga perlu diberi kursus latihan dan ilmu yang berterusan, terutamanya dalam penyalahgunaan kuasa.

Mungkin saya perlu berhati-hati memilih siapa pemimpin saya. Pemimpin kencing berdiri, pengikut kencing berlari. Tunggulah pilihanraya nanti!

Related Posts by Categories



2 comments:

Unknown said...

biler nk smbg citer ni.??he3

iley said...

balik2 sambung.....
hahahaa