Sepanjang persahabatan kami, Eddie banyak mengajar saya perkara-perkara baru yang saya tidak tahu. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, Eddie merupakan idola saya ketika itu. Secara semulajadi, menjadi seorang remaja yang baru mahu mengenali dunia, banyak perwatakan dan penampilan Eddie menjadi ikutan saya. Malah, caranya yang suka memasukkan tangan ke dalam saku seluar ketika berjalan menjadi ikutan saya sampai ke hari ini. Eddie juga pandai bermain gitar. Lagu-lagu kumpulan Metallica yang sangat popular ketika itu dimainkan Eddie dengan sangat mahir. Saya tanya dia, bagaimana dia boleh semahir itu dan kata Eddie, bapa saudaranya (tidak salah ingatan saya) memiliki sebuah studio muzik dan dari situ dia belajar dan memahirkan diri. Saya cuba belajar dari Eddie walaupun sebelum itu saya pernah belajar dengan pembantu ayah, malangnya bakat muzik tiada dalam diri saya. Walaupun diajar Eddie
cara-cara menggunakan tab gitar, tetap juga tidak ke mana. Walaupun begitu, apa yang diminati Eddie juga menjadi minat saya. Saya mula mengumpul koleksi kaset band-band ternama ketika itu, Metallica, Nirvana dan juga Butterfingers. Eddie juga meminati genre gangster rap terutamanya kumpulan Cypress Hill tetapi saya tidak mengikutinya kerana merasakan lagu-lagunya yang entah apa-apa.
Suatu hari Eddie mempelawa saya ke rumahnya. Saya bersetuju. Rumah Eddie tidaklah jauh dari rumah saya, cuma beberapa simpang. Namun saya tidak pernah ke kawasan rumah Eddie sebelum ini kerana banyak anjing peliharaan dilepas bebas di situ. Eddie mengenalkan saya kepada ibunya dan seperti kebiasaan adat tetamu berkunjung ke rumah, saya dirai mulia dan dihidang jamuan ringan. Kemudian, kami berlalu ke bilik Eddie yang terletak di tingkat satu rumah teres tersebut. Pertama kali masuk ke bilik Eddie, saya terpesona dan kagum. Tidak seperti bilik saya, bilik Eddie dilengkapi komputer dan internet. Suasana tersebut adalah manifestasi kebebasan mutlak yang dinikmati Eddie dari ibu bapanya. Saya cemburu.
Internet masih baru ketika itu. Sekurang-kurangnya dalam persekitaran saya. Walaupun saya dikenalkan kepada internet pertama kali oleh kawan saya, Fairuz sewaktu berumur 12 tahun, tetapi Eddie yang banyak mengajar saya. Saya menjadi sangat takjub ketika itu. Eddie mengajar saya mendaftar email, menggunakan MIRC dan asas Hyper Text Markup Language. Dia juga mengajar saya memahami format bergambar .jpeg yang sangat penting kepada saya sampai ke hari ini. Antara kegemaran lain Eddie ialah berborak di ruangan sembang internet.
Eddie menggunakan bahasa rojak, bahasa yang diselang-seli di antara bahasa Inggeris dan Malaysia. Penggunaan perkataan Inggeris Eddie sangat baik. Saya takrifkan sebagai sangat baik kerana saya langsung tidak faham apa yang disembangkan Eddie bersama kawan-kawan internetnya.
Saya merasakan penggunaan bahasa yang berselang-seli adalah sangat bergaya bagi remaja seperti saya pada ketika itu. Sedikit-sedikit, saya mula merasa rendah diri dengan Eddie.
No comments:
Post a Comment