Saturday, August 29, 2009

Mistik: Permulaan

Dua atau tiga bulan lepas, lebih kurang, saya dan beberapa orang anak angkat saya, Jay, Helmi dan Faiz bersiap-siap untuk keluar makan. Kereta diletakkan bersebelahan dan di hadapan restoren Kak Adik, tempat saya bekerja sepenuh masa. Saya sudah pun berada di dalam kereta apabila tiba-tiba, saya diberitahu oleh Helmi, Jay terpijak botol air mineral yang dipenuhi air kencing. Busuk. Saya pun pergi melihatnya.

Saya menyuruh Jay membersihkan kaki sementara saya memeriksa botol yang diletakkan betul-betul di hadapan restoren. Ada sejenis air kekuningan yang berada di dalamnya. Saya melihat sebentar dan terus berlalu. Kalau benar air kumbahan, tidak sangguplah saya menatapinya lama-lama. Mahu pergi makan selepas ini. Cuma dalam sejenak, saya terfikir, siapa yang buang air kecil di dalam botol? Pemabuk? Mungkin. Kawasan ini banyak pub.

Tidak lama kemudian, tuan kedai tempat saya bekerja mendapat rungutan dari sahabat-sahabat masjidnya. "Nape kedai kau ni tutup memanjang?"

Pelik. Saya bekerja hari-hari. Tidak pernah sekali saya tutup hingga sampai waktu. Cuma, saya perasan, jumlah pelanggan dan pulangan sehari-hari makin berkurangan. Lalu, satu hari itu, kami buat perjumpaan sesama kami. Ya, saya fikir, mungkin kami perlu meningkatkan kualiti servis. Namun, terkeluar cadangan yang saya tidak pernah fikirkannya. Cadangan dari tukang masak. Kata dia, kedai tempat kami bekerja ini tidak ada pendinding. Sejak hari pertama dia masuk bekerja lagi, dia mempunyai perasaan yang bukan-bukan tentang kedai ini. Dia meminta tuan kedai untuk berikhtiar, berjumpa mana-mana bomoh. Tambahnya lagi, dia berfirasat, ada hantu sialan yang sedang melingkari. Kalau tidak diselesaikan, akibatnya hati pelanggan boleh dicalit rasa mahu tidak mahu masuk ke dalam untuk menjamu selera.

Saya akui, memang ada adat-adat tertentu, masyarakat tradisi orang Melayu, dalam menjalankan perniagaan makanan. Tidak perlulah saya bercerita lebih lanjut kerana saya pun tidaklah berpengetahuan sangat, cuma pada asasnya, adatnya lebih kurang persis menduduki rumah baru, ada acara membaca Yassin, ada jamuan makan-makan dan lain-lain lagi. Saya pasti, yang berniaga makan-makan pasti tahu jauh dalamnya adat itu.

Cuma, saya sedikit skeptikal kalau berikhtiar berlebihan, jumpa bomoh itu, jumpa bomoh ini. Kalau servis dan rasa makan itu sangat berkualiti, tidak mengapa juga.

Lepas itu, saya cerita pada tuan punya kedai, perihal botol mineral yang diisi air kencing dan diletakkan di hadapan kedai. Kami sama-sama menjadi pelik. Tidak lama kemudian, tuan kedai bercerita kembali kepada saya. Perihal air botol kencing itu, dikhabarkan pada seorang lelaki yang terkenal dan diakui kebolehannya dalam perkara-perkara menentang serangan tahyul dan khurafat. Diterangkan, air kuning itu bukan air kencing seperti disangkakan awal-awal tetapi sebenarnya air mayat. Tambahnya, air jenis itu memang selalu digunakan dalam perniagaan makan-makan. Saya tidak tahu, mahu percaya atau tidak tetapi peliklah bila orang meletakkan air pelik di hadapan restoren.

Beberapa hari lamanya, saya bawa berita itu ke dalam pengetahuan emak. Waktu itu, saya menemani emak ke rumah baru kami, rumah kedua yang dibeli oleh adik perempuan saya dengan hasil pinjaman bank. Emak mahu menempah kabinet dapur dan seorang lelaki Cina datang mengukur spesifikasi ruang yang ada.

Saya bersembang dengan emak sehingga sampai topik air mayat. Tiba-tiba lelaki cina yang sedang mengukur, menyampuk perbualan kami, "biasalah Melayu, dengki tak habis-habis, macam mana nak maju?"

Saya yang mendengarnya merasa panas hati. Berani benar bangsa lain mengata bangsa Melayu itu bangsa dengki-dengki. Saya hanya tersenyum dalam keadaan mendidih. Bila kerja mengukur sudah selesai, kami pun pulang. Saya bertanya kepada ibu tentang lelaki Cina tadi, rupa-rupanya dia berbangsa Melayu campuran. Bapanya berbangsa Cina. Patutlah.

Persoalannya sekarang, benarkah bangsa Melayu itu bangsa yang jelik, suka dengki itu dan ini, benarkah? Dipuji dan dimuliakan pula bangsa lain, suka tolong-menolong di antara satu sama lain.

Yang mengata itu Melayu. Ahhh..meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

Proses Menaik Taraf

Pos seterusnya: Benar atau tidak bangsa Melayu itu dengki-dengki?
Pos seterusnya: Mistik - Pertengahan

Saturday, August 22, 2009

Budaya juga kadang-kadang boleh mengelirukan

Semasa saya masih seorang pelajar di Bandar Sri Iskandar, saya terlihat peristiwa yang menjelikkan. Waktu itu, saya baru selesai meletakkan motor di tempatnya. Keadaan agak gelap dan samar-samar. Saya berjalan menerusi laluan yang disediakan.

Entah bagaimana, mata saya bingkas menyedari dua orang pelajar asing, sedang berjalan bertentangan. Mereka sedang menuju ke arah saya. Mulanya, saya tidak merasakan apa-apa. Namun, sebaik sahaja hampir kepada mereka, pantas saya menyedari mereka sedang berpegangan tangan. Mesra, intim dan menggelikan.

"Gay! Agak-agak la nak show off love affection depan public pun!" Dengus saya di dalam hati.

Saya berlalu pergi membiarkan sahaja mereka. Malaslah nak sibuk-sibuk jaga tepi kain orang. Dua ke tiga semester kemudian, sewaktu saya di tahun dan semester terakhir, saya mengambil kursus wajib, Professional Communication Skills. Tenaga pengajarnya, seorang yang bertaraf Doktor PhD, menceritakan pengalaman sewaktu dia melawat Pakistan, beberapa tahun lalu.

Lebih kurangnya begini mengikut apa yang saya faham. Budaya orang-orang di Pakistan sangat unik. Salah satunya ialah hubungan sesama sahabat. Jika mereka keluar berjalan-jalan, mereka akan saling berpimpin tangan. Memegang tangan sahabat adalah cara untuk menunjukkan betapa akrabnya mereka. Cuba bayangkan kalau kita buat begitu di Malaysia.

Ahhh..baru saya teringat. Lelaki yang saya lihat berpegangan tangan, memang berbangsa Pakistan, berdasarkan pakaian dan raut wajah tipikal mereka.

Kesian, tak pasal-pasal kena sumpah.

Thursday, August 20, 2009

Perbezaan budaya dan cara hidup boleh memutuskan rasa kasih

Semasa saya kecil, kami sekeluarga tinggal di Teluk Intan, Perak. Waktu itu ayah bekerja dengan kerajaan. Jadi, kami diberi peluang tinggal di kuarters kerajaan di Jalan Maharajalela. Sekarang, rumah itu sudah tiada lagi. Pemaju robohkan dan diganti dengan bangunan komersil.

Suatu hari ayah membawa pulang seorang perempuan berbangsa India ke rumah. Umurnya mungkin setengah abad. Sejak dari itu, dia tinggal dengan kami. Dia menguruskan kami adik-beradik dan membantu ibu dalam kerja-kerja rumah.

Dia selalu melayan karenah kami, adik-beradik yang nakal. Biasalah, kanak-kanak kan? Perlahan-lahan saya mula rasa sayang kepada dirinya. Dia selalu tidur dengan kami. Suatu malam, dia tidur membelakangkan saya. Entah bagaimana saya boleh memeluknya. Walaupun memori itu terasa berbalam-balam, tetapi saya masih ingat lagi perasaan kasih saya kepada dia. Perasaan kasih seperti kasihnya kepada ibu dan opah saya.

Agak lama dia tinggal dengan kami sehinggalah pada satu hari. Kami sekeluarga menghadiri satu majlis keramaian (tak silap saya). Kami pulang agak lewat. Sampai sahaja di rumah, sebaik sahaja ayah membuka pintu, bau yang busuk menerjah ke hidung.
Kami masuk ke dalam rumah. Di atas lantai, dia terlentang, terbaring dalam keadaan tidur. Sebotol air todi berada tidak jauh darinya. Ayah menyuruh kami naik ke atas rumah. Malam itu, dia tidak tidur dengan kami. Keesokkan harinya, saya tidak lagi nampak kelibat dirinya di dalam rumah. Entah ke mana dia pergi.
Rumah kami ada dua bahagian. Bahagian pertama ialah bahagian utama, tempat kami sekeluarga berteduh. Bahagian kedua ialah untuk pembantu rumah (tidak silap ingatan). Saiznya kecil sahaja, mungkin sebesar ruang tamu rumah dan tiada bahagian ruangan di dalamnya.
Lama-lama baru saya perasan, dia tinggal di situ. Tidak lagi tinggal bersama kami. Saya hanya mampu melihat dirinya dari jauh.
Bila sudah besar-besar begini, baru saya memahami, kenapa dia diasingkan dari rumah kami.

Tuesday, August 18, 2009

Tamat

Saat dilahirkan,
Mengecapi indahnya cahaya,
Dalam dimensi fana,
Sebuah kehidupan.

Seperti Adam,
Ditelanjangkan,
Dibuang ke dunia,
Meninggalkan syurga,
Kecapi nikmat tanpa usaha.
Menangis,
Sejuk,
Rengekan dalam dambaan sebuah pelukan.

Teriakan esak,
Sempurna,
Menjadi bukti,
Jayanya cantuman,
Ibu,
Ayah dan rahsia keturunan.

Perlahan-lahan,
Mula melupakan,
Janji manis pada Tuhan.

Saat membesar,
Dididik,
Baca,
Tulis dan kira,
Segala ilmu kenal alam,
Tiada penghujung,
Bak dalamnya lautan.

Apa guna belajar?
Jika esok hari kita mati.
Apa guna bersusah-susah?
Jika datang kiamat kemudian hari.
Apa guna menguasai ilmu?
Jika ilmu itu milik Yahudi.

Setiap yang bermula,
Pasti ada penamatnya,
Setiap yang hebat,
Pasti ada keputusannya.

Yang hidup,
Akan mati,
Yang belajar,
Ada gulungan buktinya,
Kalau tak sudah-sudah penamatnya,
Maka tipulah guru yang mengajar,
Sia-sia penat lelah.

Namun,
Ada sesuatu tidak boleh ditamatkan,
Tidak boleh dimatikan,
Tidak boleh dimansuhkan,
Infiniti ruang masa,
Walau kita telah kembali kepada sang Pencipta,
Walau kita telah menguasai ilmu sehebat-hebatnya,
Walau kita telah capai,
Apa yang disasarkan,
Buat selama-lamanya.

Ya,
Perjuangan.
Jangan kita cepat lentur.
Untuk kesinambungan,
Kelansungan,
Anak cucu kita kemudian hari.

Dengan izin Tuhan..

Syukur Tuhan.
Terima kasih Guru.
Terima kasih Ibu.
Terima kasih Ayah.
Terima kasih sahabat.

Kerana hari bersejarah.
Pada saat ini.
Pada ketika ini.
Pada bulan ini.
Pada tahun ini.


Ya. Hari bersejarah kena bergembira sedikit.

Thursday, August 6, 2009

Revolusi Satu Malaysia

Tidak beberapa lama dulu, sewaktu masih kecoh kemenangan Obama, warga kulit hitam pertama yang semua-orang-pun-tahu, memenangi pilihan majoriti sebagai Presiden Amerika, saya sedang membelek-belek blog Tun.

Saya terbaca satu komen, yang berdasarkan namanya, kemungkinan bangsa India Malaysia. Dia mempersoalkan tentang peluang bangsa-bangsa lain di Tanah Melayu ini untuk menjadi Perdana Menteri. Mengambil kesempatan dengan suasana pembaharuan di Amerika, dia membanding-bandingkan dengan Malaysia.

Bila difikir-fikir balik, ya, kenapa tidak?

Di Amerika, warga Afrika Amerika bertutur dalam bahasa Inggeris, sama seperti di Malaysia, bangsa Cina dan India menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan harian. Sangat sedikit yang menggunakan bahasa di tanah asal mereka. Malah, ada yang langsung tidak tahu bahasa ibunda mereka.

Di Amerika, majoriti warga Afrika Amerika menganut agama Kristian, walaupun di negara Uncle Sam tersebut tidak mempunyai agama rasmi seperti di Tanah Melayu. Tidak berbeza di sini, bangsa Cina dan India, majoritinya adalah Muslim. Jadi tidak ada binatang peliharaan seperti anjing, tidak ada daging khinzir dijual di pasar tani dan minuman keras di 7-Eleven.

Di Tanah Melayu ini juga, keturunan kaum pendatang mengamalkan budaya Melayu sepenuhnya. Mereka mengasimilasasikan diri mereka ke dalam budaya masyarakat setempat, makan sambal belacan dan pandai pula bersilat. Tidak hairan kalau melihat makcik-makcik Melayu, Cina dan India, mengumpat-umpat di anak tangga, gelak kekek dan bertepuk tampar bersama-sama.

Di Amerika, tidak ada jenis sekolah tertentu untuk bangsa-bangsa tertentu. Seperti Malaysia, semuanya sekolah kebangsaan, tiada aliran sekolah versi Hong Kong atau Sri Lanka di India.

Semuanya adalah satu. Satu adalah tanda bersatu. Bersatu bererti teguh.

Ayuh. Mari bersama-sama kita realisasikannya!

Saturday, August 1, 2009

Bahasa: Ilmu dan Ekonomi

Kita semua tahu, Kesultanan Melayu Melaka merupakan empayar yang gemilang suatu masa dahulu. Ramai pedagang-pedagang asing datang berniaga di Melaka. Lokasi yang strategik, bantuan angin bermusim dan kecekapan polisi Kerajaan Melayu Melaka, tidak keterlaluan kalau dikatakan, Melaka antara pusat dunia pada waktu itu. Maka ramailah yang berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Melayu. Secara langsung, bahasa Melayu menjadi antara bahasa utama di rantau benua. Budaya Melayu juga menjadi terkenal, antaranya dalam bidang persilatan bagi menjaga keselamatan diri dan tanah air.

Kita juga tahu, suatu masa dahulu, kegemilangan bangsa Arab dalam penguasaan ilmu. Majunya mereka dalam bidang keilmuan adalah lebih awal dari bangsa Eropah. Ramailah yang datang dari pelusuk luar untuk menuntut ilmu dengan bangsa Arab. Dikhabarkan, kitab perubatan Ibnu Sina masih digunakan sampai ke hari ini. Betapa bijaksananya ilmuan Islam suatu masa dahulu. Karya-karya dan kitab-kitab ilmu diterjemah ke dalam bahasa lain oleh bangsa asing. Dengan segera, bahasa Arab menjadi antara bahasa utama dunia.

Zaman sekarang, kita sedar dan tahu dan tidak boleh dinafikan, Amerika adalah kuasa besar dunia. Mereka menguasai bukan sahaja ekonomi tetapi juga ilmu. Lantas, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dunia. Tiada usaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris pun di pelosok dunia. Sejarah membuktikannya. Penguasaan ilmu dan ekonomi menaikkan sekali bahasa.

Di Malaysia, di Tanah Melayu yang tercinta ini, kita tidak boleh menidakkan, kaum Cina yang menguasai ekonominya. Perlahan-lahan, bahasa Mandarin mula berlegar-legar menjadi bahasa keutamaan. Sekarang, mahu minta kerja pun, tertera iklan "Mandarin is preferrable."

Usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak berpijak di bumi yang nyata. Ekonomi kita, bangsa lain yang menguasai, ilmu pun bangsa asing yang pegang. Selagi kita masih khayal dengan keindahan bahasa Melayu, selagi kita masih berseronok dengan penghasilan puisi-puisi yang menikmatkan, selagi kita masih merasa hebat kerana corak penggunaan bahasa kita, suatu hari nanti ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Jika ilmu dan ekonomi masih dipegang orang luar.

Kata Tun, "Sayang kepada bahasa tidak boleh melebihi sayang kepada bangsa!"