Kita juga tahu, suatu masa dahulu, kegemilangan bangsa Arab dalam penguasaan ilmu. Majunya mereka dalam bidang keilmuan adalah lebih awal dari bangsa Eropah. Ramailah yang datang dari pelusuk luar untuk menuntut ilmu dengan bangsa Arab. Dikhabarkan, kitab perubatan Ibnu Sina masih digunakan sampai ke hari ini. Betapa bijaksananya ilmuan Islam suatu masa dahulu. Karya-karya dan kitab-kitab ilmu diterjemah ke dalam bahasa lain oleh bangsa asing. Dengan segera, bahasa Arab menjadi antara bahasa utama dunia.
Zaman sekarang, kita sedar dan tahu dan tidak boleh dinafikan, Amerika adalah kuasa besar dunia. Mereka menguasai bukan sahaja ekonomi tetapi juga ilmu. Lantas, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dunia. Tiada usaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris pun di pelosok dunia. Sejarah membuktikannya. Penguasaan ilmu dan ekonomi menaikkan sekali bahasa.
Di Malaysia, di Tanah Melayu yang tercinta ini, kita tidak boleh menidakkan, kaum Cina yang menguasai ekonominya. Perlahan-lahan, bahasa Mandarin mula berlegar-legar menjadi bahasa keutamaan. Sekarang, mahu minta kerja pun, tertera iklan "Mandarin is preferrable."
Usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak berpijak di bumi yang nyata. Ekonomi kita, bangsa lain yang menguasai, ilmu pun bangsa asing yang pegang. Selagi kita masih khayal dengan keindahan bahasa Melayu, selagi kita masih berseronok dengan penghasilan puisi-puisi yang menikmatkan, selagi kita masih merasa hebat kerana corak penggunaan bahasa kita, suatu hari nanti ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Jika ilmu dan ekonomi masih dipegang orang luar.
Kata Tun, "Sayang kepada bahasa tidak boleh melebihi sayang kepada bangsa!"
No comments:
Post a Comment